What's New

Home
Music
Music Video
Wallpaper
Spongebob Squarepants
What's New
Weblink

 
KRIS DAYANTI PUJUK SITI NURHALIZA BERLAKON

 


"Siti Nurhaliza menjadi pilihan pertama Christine Hakim kerana kredibilitinya dan juga peribadinya yang sentiasa menjadi sanjungan peminat."

KRIS Dayanti akan cuba memujuk Siti Nurhaliza untuk berlakon sama dalam filem Tiga Dara bila bertemu artis itu dalam satu program hiburan terbitan RCTI pada 24 Ogos ini.

Selain Kris Dayanti dan Siti Nurhaliza, filem yang akan diterbitkan oleh aktres Christine Hakim itu juga akan menampilkan Dian Sastrowardoyo.

Tiga Dara yang akan diarahkan oleh Rudy Sugawo dijangka akan memulakan penggambaran pada Oktober ini.

Kris Dayanti yang kini berada di Jakarta dan baru muncul dengan album single terbarunya Cahaya, ketika ditemuramah melalui telefon di Pejabat Warner Music Malaysia memberitahu, "Saya akan bertemu Siti di RCTI dan saya akan gunakan peluang itu untuk memujuk Siti supaya berlakon sama dalam Tiga Dara.

"Bagi saya, sebagai artis kita perlu ada motivasi diri dan saya rasa penglibatan seseorang penyanyi dalam lakonan adalah sesuatu yang baik.

"Apalagi dalam filem ini saya tidak nampak ia akan menjejaskan kredibiliti Siti sebagai penyanyi kesayangan ramai kerana tidak ada babak berpimpin tangan, peluk atau bercium.

"Siti hanya berlakon sebagai seorang guru Tadika dan saya pasti filem bercorak muzikal itu amat sesuai untuk kami bertiga."

Menurut Kris, Siti Nurhaliza menjadi pilihan pertama Christine Hakim kerana kredibilitinya dan juga peribadinya yang sentiasa menjadi sanjungan peminat.

"Kalau Siti tidak 'makan' dengan pujukan, saya memang kecewa kerana tawarannya lumayan dan nampaknya Christine Hakim terpaksa melupakan niatnya dan menjalankan uji bakat kepada muka-muka baru yang terdapat di Indonesia," kata Kris Dayanti.

Menyentuh mengenai single albumnya, Kris Dayanti berkata, sebagai penyanyi dia begitu berpuashati dengan hasil album yang diterbitkan oleh Erwin Gutawa apalagi dengan lagu dan klip video, Cubalah Untuk Setia dan Pilihlah Aku.

Album tersebut yang telah diedarkan di Indonesia sejak dua bulan lalu kini sudah terjual lebih 150,000 unit.

"Kehadiran saya dalam pasaran album Malaysia bukanlah mahu mencuri peminat sesiapa sebaliknya saya mahu sama-sama merasai kemeriahan industri muzik di Malaysia.

"Walaupun saya jauh di Indonesia tetapi para peminat di Malaysia sentiasa di hati saya. Sebab itu saya mahu mereka memilikki album saya kerana lagu-lagu dalam album itu adalah suara hati saya untuk mendekati mereka," kata Kris Dayanti yang akan datang ke Malaysia pada 30 Ogos ini untuk mengadakan persembahan sempena kemerdekaan di Kuching, Sarawak dan dijangka akan memulakan promosi single albumnya di Malaysia pada 1 September.

Copyright 2005 1Hits Inc. All rights reserved.