KRIS DAYANTI PUJUK SITI NURHALIZA BERLAKON
|
|
|
|
"Siti Nurhaliza menjadi pilihan pertama Christine Hakim kerana
kredibilitinya dan juga peribadinya yang sentiasa menjadi sanjungan peminat."
|
| KRIS Dayanti akan cuba memujuk
Siti Nurhaliza untuk berlakon sama dalam filem Tiga Dara bila bertemu artis itu dalam satu program hiburan terbitan RCTI pada
24 Ogos ini.
Selain Kris Dayanti dan Siti Nurhaliza, filem yang akan diterbitkan oleh aktres Christine Hakim itu juga
akan menampilkan Dian Sastrowardoyo.
Tiga Dara yang akan diarahkan oleh Rudy Sugawo dijangka akan memulakan penggambaran
pada Oktober ini.
Kris Dayanti yang kini berada di Jakarta dan baru muncul dengan album single terbarunya Cahaya, ketika
ditemuramah melalui telefon di Pejabat Warner Music Malaysia memberitahu, "Saya akan bertemu Siti di RCTI dan saya akan gunakan
peluang itu untuk memujuk Siti supaya berlakon sama dalam Tiga Dara.
"Bagi saya, sebagai artis kita perlu ada motivasi
diri dan saya rasa penglibatan seseorang penyanyi dalam lakonan adalah sesuatu yang baik.
"Apalagi dalam filem ini
saya tidak nampak ia akan menjejaskan kredibiliti Siti sebagai penyanyi kesayangan ramai kerana tidak ada babak berpimpin
tangan, peluk atau bercium.
"Siti hanya berlakon sebagai seorang guru Tadika dan saya pasti filem bercorak muzikal
itu amat sesuai untuk kami bertiga."
Menurut Kris, Siti Nurhaliza menjadi pilihan pertama Christine Hakim kerana kredibilitinya
dan juga peribadinya yang sentiasa menjadi sanjungan peminat.
"Kalau Siti tidak 'makan' dengan pujukan, saya memang
kecewa kerana tawarannya lumayan dan nampaknya Christine Hakim terpaksa melupakan niatnya dan menjalankan uji bakat kepada
muka-muka baru yang terdapat di Indonesia," kata Kris Dayanti.
Menyentuh mengenai single albumnya, Kris Dayanti berkata,
sebagai penyanyi dia begitu berpuashati dengan hasil album yang diterbitkan oleh Erwin Gutawa apalagi dengan lagu dan klip
video, Cubalah Untuk Setia dan Pilihlah Aku.
Album tersebut yang telah diedarkan di Indonesia sejak dua bulan lalu
kini sudah terjual lebih 150,000 unit.
"Kehadiran saya dalam pasaran album Malaysia bukanlah mahu mencuri peminat
sesiapa sebaliknya saya mahu sama-sama merasai kemeriahan industri muzik di Malaysia.
"Walaupun saya jauh di Indonesia
tetapi para peminat di Malaysia sentiasa di hati saya. Sebab itu saya mahu mereka memilikki album saya kerana lagu-lagu dalam
album itu adalah suara hati saya untuk mendekati mereka," kata Kris Dayanti yang akan datang ke Malaysia pada 30 Ogos ini
untuk mengadakan persembahan sempena kemerdekaan di Kuching, Sarawak dan dijangka akan memulakan promosi single albumnya di
Malaysia pada 1 September.
|